Monday, December 11, 2023

Mengapa Surat Tawaran Kerja Penting?

Ramai pekerja ditipu oleh majikan mereka tentang upah, waktu bekerja, bonus dan segala keistimewaan lain yang wajar diterima oleh pekerja. Perkara ini berlaku disebabkan semasa interview majikan bermulut manis dengan menjanjikan segala yang indah-indah belaka demi mendapat pekerja yang bagus. 

Sebenarnya, segala janji manis majikan tersebut perlu dinyatakan dalam surat tawaran kerja ("letter of offer") bagi mengelakkan sekadar "janji tinggal janji". Pekerja perlu menyemak kandungan surat tawaran kerja tersebut sama ada segala janji-janji manis yang ditabur majikan sebelum mengambil anda bekerja ada dinyatakan dalam surat tersebut. Ramai pekerja tidak peka dengan kandungan yang dinyatakan dalam surat tawaran kerja kerana mereka teruja dengan pekerjaan baru yang bakal disandang.
 
Letter of Offer

Lebih parah lagi ada juga antara pekerja yang tidak menerima surat tawaran kerja apabila diterima masuk bekerja.. Jadi sila pastikan pekerja menandatangani surat tawaran kerja apabila mendapat tawaran pekerjaan dengan majikan baru. 

Untuk pengetahuan anda, seseorang mesti menerima surat tawaran kerja sebelum melaporkan diri di tempat kerja baru. Sekiranya tiada surat tawaran kerja dikeluarkan oleh majikan baru anda, sebenarnya ianya satu risiko yang perlu anda tanggung di kemudian hari.

Surat tawaran kerja ini adalah satu dokumen penting yang menyatakan hak dan keistimewaan anda dapat sebagai pekerja seperti jawatan, jumlah cuti tahunan dan info-info lain yang dirasakan perlu. Sebahagian dari majikan ada membuat pemberitahuan keputusan temuduga yang disampaikan secara lisan mahupun email, WhatsApp atau medium yang lain. 

Walau anda teruja kerana ditawarkan kerja, namun pastikan anda meneliti betul-betul isi kandungan surat tawaran kerja anda supaya tidak menyesal di kemudian hari. Sebenarnya, penyampaian tanpa mengeluarkan surat tawaran kerja dianggap tidak rasmi, calon pekerja perlu mendapat surat tawaran kerja yang lengkap oleh syarikat tersebut.

Okay, bila dapat surat tawaran kerja perkara berikut wajar diberi perhatian bagi mengelakkan anda ditindas atau tidak mendapat hak anda sebagai pekerja. Pastikan surat tawaran kerja tersebut ditujukan kepada anda dengan menyatakan:

1 - Nama penuh

2 - Tarikh permulaan bekerja (optional)

3 - Jawatan yang ditawarkan

4 - Jumlah gaji

5 - Nama dan jawatan 

6 - Jumlah manfaat seperti Cuti Tahunan (Annual Leave), Cuti Sakit (Medical Leave), Cuti Kemasukan Hospital (Hospitalisation Leave)  

7. Polisi insurans (Insurance Policy)

8 - Jumlah caruman EPF & SOCSO oleh pekerja & majikan

9 - Waktu & lokasi bekerja

10 - Manfaat perubatan (Medical Entitlement)

11 - Tempoh percubaan bekerja (Probation Period)

12 - Tempoh perletakan jawatan (Notice period)

13 - Dicetak didalam kepala surat syarikat (printed in company's letterhead)

14 - Tandatangan persetujuan oleh pihak majikan dan penerimaan oleh pekerja

Sekiranya majikan baru anda tidak memberi surat tawaran kerja, apakah yang perlu anda lakukan? Jika sudah mula bekerja tapi masih belum dapat surat tawaran kerja, macam mana pula?

Kalau bakal majikan anda tidak mengeluarkan atau tak menjanjikan sebarang surat tawaran kerja, anda berhak untuk tidak melaporkan diri di tempat kerja baru tersebut. Selain itu, anda juga boleh melaporkan perkara ini kepada Jabatan Tenaga Kerja / Jabatan Buruh (Labour Department) dengan mengemukakan bukti yang menunjukkan bahawa anda diterima bekerja di tempat baru.

Mengapa surat tawaran kerja penting?

Surat tawaran kerja penting bagi seorang pekerja yang ditawarkan bekerja di sebuah syarikat kerana ia merupakan bukti bertulis rasmi daripada pihak majikan. Surat tawaran kerja ni juga untuk menjamin seseorang pekerja mendapat perlindungan dari pihak majikan ataupun kerajaan seperti caruman KWSP, SOCSO dan sebagainya.

Semoga article ini membantu anda.

Selamat Maju Jaya!

Share:
Copyright © Workwise Chronicles | Powered by Blogger Design by ronangelo | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com